Azrul Shah Mohamad bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Konvensyen Tourism Selangor Global di Hotel New World Petaling Jaya pada 10 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Konvensyen pelancongan himpun lebih 4,000 penggiat, kupas langkah harung pandemik

PETALING JAYA, 10 DIS: Konvensyen Global Tourism Selangor 2021 yang berlangsung secara hibrid bermula semalam berjaya menghimpunkan seramai 4,400 pemain industri pelancongan.

Bertemakan ‘Game Changer, Reset Tourism’, konvensyen julung kali itu bertujuan memacu semula industri pelancongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Shah Mohamad.

Menurutnya, aktiviti selama dua hari mengupas topik pelancongan digital 4.0, e-dagang, inovasi dalam kelangsungan ekonomi pelancongan, pempengaruh untuk destinasi pelancongan, pelancongan sukan serta pelancongan kreatif dan filem.

“Kita sasarkan kepada semua penggiat industri yang terkesan bagi memulakan semula industri pelancongan melalui perbincangan untuk mengharungi industri tesebut dalam era pandemik.

“Pelbagai topik dibincangkan dalam bidang pelancongan bersama penceramah-penceramah jemputan yang terdiri daripada selebriti dan pempengaruh terkenal,” katanya ditemui di Hotel New World di sini hari ini.

Azrul Shah berkata sebagai badan pelancongan negeri, pihaknya sentiasa memperjuangkan nasib pemain industri melalui pelbagai inisiatif seperti program baucar pelancongan, geran pemulihan dan pelancaran aplikasi Go Selangor.

Beliau menjelaskan sebanyak 10,000 unit baucar pelancongan bernilai RM100 berjaya ditawarkan kepada rakyat untuk melawat lokasi menarik di Selangor yang disalurkan melalui e-dompet aplikasi Shopee.

 


Pengarang :