Ng Sze Han (tengah) bersama ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Azmir (dua kanan) ketika majlis perasmian Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia pada 12 Disember 2021. Foto SITI ROHAIZAH/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia jadi tarikan baharu

PETALING JAYA, 12 DIS: Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia bakal menjadi tarikan baharu masyarakat khususnya mereka di kawasan Sungai Way, kata datuk bandar Petaling Jaya.

Mohamad Azhan Md Amir berkata pihaknya menyokong inisiatif penduduk terutama Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) mewujudkan koridor sejarah melibatkan sesebuah penempatan.

“Usaha mewujudkan koridor sejarah ini baik kerana memberi pendidikan pada masyarakat dan sejarah penubuhan kampung ini. Sebagai orang lama, wajar kita berkongsi sejarah untuk dihayati golongan muda.

“Oleh demikian, MBPJ yakin usaha mewujudkan koridor sejarah ini akan menjadi tarikan masyarakat termasuk orang luar untuk datang ke Sungai Way. Malah, kita juga akan membantu daripada aspek pemilihan lokasi yang bersesuaian,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia di Dewan Serbaguna Sungai Way hari ini yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Tambah Mohamad Azhan, dalam mempromosikan Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia, MBPJ akan menguar-uarkannya kewujudan pusat ini kepada masyarakat.

“Masyarakat luar perlu tahu sejarah kawasan ini dan kehadiran masyarakat ke Koridor Sejarah Kampung Baru Seri Setia juga dapat membawa kebaikan kepada penduduk,” katanya.

Kampung Baru Seri Setia kini memiliki koridor sejarah sendiri yang mempamerkan pelbagai dokumen dan barangan antik untuk tatapan ramai.

Sze Han ketika merasmikan koridor sejarah pertama di Selangor berkata ia menjadi perintis kepada kampung baru lain selain salah satu destinasi tarikan pelancongan.


Pengarang :