Kenderaan yang rosak akibat banjir dihantar ke bengkel ZAS Auto, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kudrat terbatas akibat kemalangan, tetap gigih beri khidmat tunda kereta percuma

DENGKIL, 28 DIS: Walaupun kesihatan diri kurang memuaskan ekoran kecederan teruk selepas terlibat dalam kemalangan tiga tahun lepas, situasi itu tidak melunturkan niat murni K Maniam Rajoo, 46, untuk menawarkan perkhidmatan tunda kereta dan motosikal secara percuma kepada mangsa banjir dekat sini.

Beliau berkata selepas mengalami patah di kedua-dua belah tulang rusuk, leher serta kaki kanan akibat kemalangan itu, pergerakan dan tenaga beliau tidak seperti sebelumnya, namun apabila kudratnya didamba bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan, terutama di saat yang kritikal, beliau tetap bangkit untuk menyahut panggilan.

Katanya susulan kejadian banjir besar 18 Dis lepas, beliau bersama empat rakannya turut menyumbang tenaga mereka dengan ikhlas, tanpa bayaran, untuk menunda kereta serta motosikal, sebaik sahaja dihubungi beberapa jiran yang meminta mereka menunda kenderaan agar tidak ditenggelami air, atau untuk dihantar ke bengkel.

K Maniam Rajoo memastikan motosikal yang terjejas dibawa dalam keadaan baik sebelum dihantar ke pusat servis ketika tinjauan di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Kesemua jiran dan rakannya itu tinggal berhampiran kawasan kediamannya di Pangsapuri Jenderam Indah, di sini.

“Mereka tahu saya buat bisnes (perniagaan) perkhidmatan tunda dan saya ada lori kren. Ketika itu (18 Dis) air sudah mulai naik paras pinggang orang dewasa di kawasan kediaman kami,” kata bapa kepada tiga anak itu kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

“Saya pun bergegas ke lokasi sekitar pukul 8 malam berdasarkan maklumat dari pemanggil. Kami tunda kereta dahulu ke tempat tinggi,” katanya yang mempunyai tiga lori kren bagi muatan lima tan, 10 tan dan 15 tan.

Menurutnya sehingga kini 20 kereta dan 15 motosikal telah ditunda ke bengkel bagi tujuan pembaikan setelah banjir surut sejak tiga hari lepas.

“Saya harap perkara ini dapat diuar-uarkan sebab ramai tidak tahu saya tawarkan perkhidmatan ikhlas ini secara percuma. Niat saya ikhlas, jadi saya bantu untuk tunda sampai ke bengkel yang mereka tetapkan supaya mereka puas hati dengan perkhidmatan saya dan mempercayai saya,” kata beliau yang berasal dari Changlun, Kedah.

Sementara itu pemilik bengkel motosikal NPS Motorcycle Workshop, A Devarajoo, 42, berkata beliau mengenakan harga berpatutan kepada pemilik yang menghantar motosikal mereka untuk dibaiki setelah rosak akibat bencana banjir, memandangkan mereka perlu membiayai pelbagai kos kerosakan barangan lain.

A Devarajoo membaiki motosikal milik salah seorang mangsa banjir di bengkel miliknya, NPS Motorcycle Workshop di Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Anak jati Selangor itu berkata dengan bantuan dua pekerjanya, beliau sedaya upaya akan menyiapkan kerja-kerja pembaikan motosikal agar dapat dipulangkan kepada pemilik dengan segera, dan biasanya kos yang dikenakan adalah antara RM100 dan RM200 sahaja.

“Biasanya motosikal yang ditenggelami banjir akan rosak pada bahagian ‘palam pencucuh’ dan penapis udara. Selepas baiki, saya akan servis dengan menukar minyak hitam,” katanya yang baharu memulakan operasi bengkel di Kampung Lalang, di sini tiga bulan lepas.

Pemilik bengkel kereta ZAS Auto, Mohd Hamizul Jubri, 46, pula berkata sehingga kini beliau menerima hampir 10 kereta daripada pemilik di sekitar Dengkil dan Shah Alam yang perlu dibaiki selepas rosak akibat banjir.

Mohd Hamizul Jubri memulakan kerja mengasingkan bahagian-bahagian dalam kereta yang diselaputi lumpur di bengkel miliknya ZAS Auto, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA

Mekanik yang telah membuka bengkel sejak empat tahun lepas itu berkata antara masalah yang dihadapi kereta ditenggelami air adalah masalah elektrik, enjin atau ‘gear box’ dan sistem penghawa dingin dimasuki air.

“Walaupun kerja agak rumit, tapi saya anggap kereta-kereta ini macam kereta saya sendiri. Saya akan buat kerja dengan teliti agar pemilik berpuas hati dan tiada istilah harga tinggi. Saya caj pada harga berpatutan yang penting mereka puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :