KWSP sedang memuktamadkan perincian kemudahan akses ke Akaun 1 ahlinya, yang dikenali sebagai i-Sinar. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KWSP: Tiada peruntukan akta benar pengeluaran untuk bencana alam

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bencana alam, menurut KWSP.

Dalam satu kenyataan, dana persaraan itu memaklumkan organisasi itu tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan Akaun 1 atau 70 peratus simpanan ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan lebih cerah.

“KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka tidak akan terus dikompromi,” kata organisasi tersebut.

KWSP menjelaskan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai lepas, bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Katanya, skim pengeluaran itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli. Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan bumiputera.

“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Selain itu, KWSP juga menjelaskan kebimbangan lain selain penyusutan pendapatan masa depan individu, ialah ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukan KWSP sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Sebagai pemegang amanah, KWSP berkata organisasi itu mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan saksama untuk semua ahlinya dan masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan mendapatkan pulangan lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka.

“Sehingga kini, terdapat lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

“Dibimbangi kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak dan memberi impak negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya.

KWSP turut menekankan fokus kini adalah terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulih serta membina semula simpanan persaraan bagi menjamin persaraan yang selesa.

Dalam masa sama, KWSP bersimpati dengan nasib mangsa banjir dan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), peruntukan RM10 juta disalurkan hasil penjimatan perbelanjaan operasi.

Bantuan tersebut, katanya akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan dan disalurkan melalui pertubuhan amal berkredibiliti.

“Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desakan daripada pelbagai pihak yang memohon kerajaan meluluskan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 wang KWSP untuk memulakan semula kehidupan terjejas akibat banjir teruk yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

-BERNAMA


Pengarang :