Selangorkini
Keadaan Sungai Klang yang semakin bersih setelah lebih 75,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan sejak 2016. Foto ihsan Landasan Lumayan Sdn Bhd
AGENDA AGENSI PBT SELANGOR

Landasan Lumayan diurus secara profesional laksana projek pulih Sungai Klang

SHAH ALAM, 7 DIS: Syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) yang diberi mandat mengendalikan projek Gerbang Maritim Selangor (GMS) diuruskan secara profesional dan bersedia menerima sebarang semakan bebas.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata cara operasinya sentiasa diberi perhatian tinggi termasuk kesemua perbelanjaan, gaji dan bonus pengarah telah melalui proses dan kelulusan yang betul.

“Pembekal dan rakan kongsi kontrak tertakluk kepada usaha wajar dan ditapis sebelum sebarang pelantikan dilakukan,” kata syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Kenyataan itu mengulas mengenai dakwaan seorang wakil rakyat pembangkang pada sidang Dewan Negeri baru-baru ini yang mempersoalkan kemampuan LLSB dalam mengendalikan projek GMS.

LLSB berkata projek SMG mendapat liputan luas dan perhatian positif media tempatan serta antarabangsa serta rakan kongsi mengiktirafnya sebagai model pembangunan sungai yang mampan.

Tambahnya sepanjang lima tahun ini, kerja-kerja yang dilaksanakan LLSB telah meningkatkan nilai Sungai Klang dengan penyingkiran sisa lebih 75,000 metrik tan dan peningkatan keseluruhan indeks kualiti air (IKA) dari Kelas V kepada Kelas III.

Jelas kenyataan itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan pinjaman mudah dalam memulakan aktiviti pembersihan dan beberapa projek pemangkin di bawah Fasa 1 (2018-2022).

“Pengurusah LLSB telah bekerja keras dalam merealisasikan objektif ini. Ia merupakan satu pelaburan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan mutu dan nilai sungai bagi menarik pelaburan baharu,” katanya.

Katanya projek ini kini bersedia bergerak ke fasa seterusnya yang akan menyaksikan penjanaan hasil antara lainnya dilaburkan semula dalam penjagaan dan pemuliharaan biodiversiti sungai lebih mampan.

“Untuk panduan kami pada masa hadapan dalam mewujudkan ekonomi sungai untuk Selangor, LLSB akan menyediakan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang akan diterapkan dalam Penyelesaian Pengurusan Sungai Bersepadu membabitkan pembangunan dan operasi.

“Rangka kerja ini akan memperlihatkan organisasi, rakan kongsi dan pembekal harus menepati  piawaian untuk memastikan projek SMG dipacu secara lestari,” katanya.

 


Pengarang :