Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah bercakap kepada media selepas menijau keadaan banjir di Taman Sentosa, Klang pada 25 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 1,500 keluarga di DUN Sentosa mohon bantuan RM1,000

KLANG, 25 DIS: Lebih 1,500 keluarga mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa membuat permohonan bantuan RM1,000.

Wakil rakyatnya Dr G Gunarajah berkata pihaknya mengambil inisiatif turun ke lokasi untuk memberi borang bagi memudahkan mangsa memohon.

“Mereka isi borang, saya terus tandatangan sebelum diserahkan kepada pejabat tanah untuk proses berikutnya.

“Kita mula edar sejak pengumuman dibuat Kerajaan Negeri pada Selasa lalu dan Pejabat Tanah Daerah Klang menjadi pejabat tanah pertama di Selangor yang proses permohonan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari mengadakan tinjauan di Taman Maznah dan Taman Sentosa di sini hari ini.

Gunarajah berkata setakat ini jumlah rumah terjejas banjir di kawasannya adalah lebih 4,000 dan beliau berharap ketua keluarga segera membuat permohonan.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah, minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, beliau berkata peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Amirudin menjelaskan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.


Pengarang :