Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir ketika Jelajah Prihatin EXCO Agama Islam Selangor bersama Mais di Kampung Jalan Kebun pada 30 Disember 2021. Foto DUN Sungai Kandis
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 1,500 keluarga di DUN Sungai Kandis terima bantuan asas

SHAH ALAM, 31 DIS: Lebih 1,500 keluarga terjejas banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima bantuan makanan dan keperluan asas dengan jumlah keseluruhan bernilai RM150,000.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata bantuan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan kerjasama http://Ikhlas.com itu disalurkan menerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tujuh kawasan yang terlibat.

“Difahamkan banjir di kawasan ini di paras pinggang yang mengakibatkan banyak barangan rosak serta musnah dan perlu diganti.

“Alhamdulillah, Mais dan Ikhlas datang membantu memberi barangan keperluan seperti alas tidur dan bantuan makanan untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Jelajah Prihatin EXCO Agama Islam Selangor bersama Mais di Balai Raya MPKK Kampung Johan Setia semalam.

Berdasarkan semakan di Facebook rasmi DUN Sungai Kandis, Zawawi turut menyampaikan bantuan yang sama semalam di Kampung Jalan Kebun, Kampung Lombong dan Kampung Bukit Naga.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini termasuk di Sungai Kandis dilanda banjir.


Pengarang :