Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 1,500 pengunjung hadir hari pertama Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 2 DIS: Lebih 1,500 pengunjung hadir hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata jumlah itu direkodkan setakat 2 petang tadi.

“Ini merupakan penganjuran kali ke-16. Kita harap lebih ramai datang bagi membantu pempamer dan peniaga menjana pendapatan semula selepas terkesan pandemik Covid-19.

Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Untuk memudahkan mereka yang tidak dapat hadir kita sediakan platform Shopee dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec). Sasaran kita bantu semua peniaga disamping menggalakkan budaya membaca,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata untuk penganjuran kali ini pihaknya turut mengadakan pertandingan sukan tradisional batu seremban dan congkak serta e-sukan PUBG sebagai tarikan dengan tawaran wang tunai melebihi RM8,000.

“Langkah ini membantu kita mengetengahkan sukan lama kepada generasi sekarang. Kita tidak mahu golongan muda hanya tahu mengenai e-sukan sahaja.

“Pesta ini berkonsepkan mesra pengunjung. Kita sediakan skuter untuk memudahkan warga emas melawat semua pameran selain surau dan cafe yang menjual harga berpatutan,” katanya.

Pesta 11 hari sehingga 12 Disember depan berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :