Selangorkini
Penduduk meredah air banjir berikutan hujan lebat sejak semalam di sekitar Kampung Nelayan, Telok Gong di Pelabuhan Klang, ketika tinjauan pada 18 Disember 2021. Foto Facebook Bernama
SELANGOR

Lebih 3,000 mangsa banjir dipindah ke pusat pemindahan sementara

SHAH ALAM, 18 DIS: Seramai 3,086 mangsa banjir setakat ini dipindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ni membabitkan daerah Klang, Kuala Langat dan Sepang ekoran hujan lebat tanpa henti sejak semalam.

Pengarah Bomba negeri Norazam Khamis berkata di Klang sebanyak 20 PPS dibuka dengan jumlah membabitkan seramai 2,604 mangsa.

Katanya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong dan SK Johan Setia di Klang mencatatkan jumlah penempatan mangsa tertinggi iaitu masing-masing 681 dan 793 orang.

Di Sepang dan Kuala Langat sebanyak 10 PPS dibuka membabitkan 482 mangsa.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapannya di Twitter berkata pada masa sama, sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) sedang digerakkan bagi mengedarkan bantuan kepada mangsa banjir.

Katanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan membuka lebih banyak PPS sekiranya diperlukan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan amaran hujan berterusan (waspada) untuk Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :