Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Program Bantuan Masuk Sekolah Ahli Tawas 2015 di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 4 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 44,000 ahli Tawas terima bantuan sekolah, ringan beban keluarga

GOMBAK, 4 DIS: Seramai 44,484 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) menerima bantuan persediaan memasuki sesi persekolahan pada tahun depan.

Bantuan kepada ahli lahir pada 2015 meliputi beg, alat tulis, bekas makanan, botol minuman, beg tuisyen, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bernilai RM50, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan edaran dibuat melalui setiap pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula hari ini dengan jangkaan selesai akhir bulan.

“Pejabat PKM akan memanggil semua ibu bapa untuk mengambil perkakasan atau menganjurkan program serahan berdasarkan jumlah dan nama penerima berdaftar.

“Jadi, saya minta supaya ibu bapa atau penjaga menghubungi PKM masing-masing dan Yawas (Yayasan Warisan Anak Selangor) jika ingin mendapatkan kepastian adakah mereka layak atau sebaliknya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima berdaftar bawah DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam Batu Caves di sini hari ini.

Seramai 2,157 ahli Tawas di DUN terbabit terpilih mendapat bantuan yang diagih secara berperingkat.

Amirudin yang juga wakil rakyat DUN Sungai Tua berkata program bantuan tahunan itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban keluarga ahli Tawas.

“Diharap dengan hadiah ini, anak-anak Tawas yang bakal masuk tahun satu dapat menempuhi alam persekolahan dengan baik dan menjadi pemangkin semangat untuk berjaya dalam bidang akademik serta kokurikulum,” katanya.


Pengarang :