Pengurus Pembangunan Seldec Md Fauzan Elham berucap ketika program usahawan ke arah digitalisasi melalui e-dagang Seldec di pentas aktiviti Pusat Konvensyen Shah Alam pada 6 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih banyak PBT rancakkan Dapur Seldec Ramadan tahun depan

SHAH ALAM, 7 DIS: Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dipergiat bagi memasarkan produk peniaga kecil melalui Dapur Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Program menjelang Ramadan tahun depan merangkumi latihan penggunaan aplikasi digital dan pendaftaran usahawan, kata Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Seldec Md Fauzan Elham.

Katanya, PBT itu meliputi Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

“Program di MBSJ dan MPKS Ramadan lalu dianggap menggalakkan, jadi kita mengambil keputusan untuk teruskan tahun depan atas arahan YB (Rodziah Ismail) dengan tambahan beberapa PBT.

“Hampir setiap hari kita turun ke kawasan PBT berkenaan untuk mengajar usahawan dan diharap berjaya memandangkan kekangan ketika ini ialah untuk aktifkan mereka,” katanya.

Beliau ditemui pada program Usahawan ke Arah Pendigitalan Melalui e-Dagang Seldec sempena Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Md Fauzan turut mencadangkan PBT supaya mewajibkan peniaga mengambil lesen Dapur Seldec sebagai syarat untuk berniaga di bazar Ramadan bagi menyokong program berkenaan.

“Jika berjaya, kita boleh pasarkan program ini. Sekarang ini masalah peniaga berusia tidak mahir menggunakan aplikasi untuk tempahan dan pembungkusan meskipun ia sebenarnya mudah,” katanya.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 untuk membantu peniaga memasarkan produk sekali gus meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

.Untuk rekod, platform e-dagang negeri itu berjaya membantu memasarkan produk 1,500 peniaga kecil di bazar dan rumah sepanjang Ramadan tahun ini.

Seldec yang diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan https://www.seldec.com.my/en.


Pengarang :