Selangorkini
SELANGOR

Lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Dengkil

PUTRAJAYA, 19 DIS: Seorang lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berjalan kaki di hadapan sebuah premis perniagaan di Taman Deluxe, Dengkil, dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shafizol Mohamad Nor berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh orang awam pada 10.30 pagi.

Beliau berkata anggota bomba yang ketika itu sedang melakukan kerja menyelamat penduduk di Taman Mas dan Taman Aman tidak jauh dari lokasi kejadian, terus memberikan bantuan kepada mangsa.

“Anggota bomba menggunakan tali untuk menarik mangsa ke tepi dan kemudian mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shafizol berkata pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kemudiannya telah diminta supaya memotong bekalan elektrik di kawasan tersebut bagi mengelak insiden sama berulang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad ketika dihubungi berkata waris mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Cyberjaya bagi memaklumkan kematian dan siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dilakukan.

– BERNAMA


Pengarang :