Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang 4 Disember 2021. Foto BBC News
AGENDAGLOBAL

Letusan Gunung Semeru Jawa Timur ragut 13 nyawa, hampir 100 cedera

JAKARTA, 5 DIS: Sekurang-kurangnya 13 maut akibat melecur manakala 98 lagi cedera susulan letusan Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur pada Sabtu.

Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari berkata mereka yang cedera termasuk dua wanita hamil dan kini menerima rawatan di hospital.

Operasi mencari dan menyelamat masih berterusan untuk memindahkan penduduk yang terperangkap, katanya dalam satu kenyataan.

BNPB juga berkoordinasi dengan tentera untuk memindahkan penduduk melalui jalan darat dan helikopter turut digunakan bagi mempercepat lagi operasi itu.

Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3,676 meter itu memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang semalam.

Lahar daripada letusan gunung berapi itu turut memusnahkan kediaman berhampiran, menyebabkan 902 penduduk di daerah itu terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Supiturang dan Curah Kobokan.

-BERNAMA


Pengarang :