Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Datuk Mohd Nizom Sairi berucap pada Majlis Hasil dan Media; ‘An Evening To Remember’ pada 9 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

LHDN mahu ubah imej penguat kuasa, galak bayar cukai secara sukarela

PUTRAJAYA,10 DIS: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini dalam usaha merubah imejnya di mata masyarakat daripada sebagai penguat kuasa kutipan cukai kepada pemudah cara untuk orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd. Nizom Sairi berkata pihaknya kini berusaha membantu orang ramai agar mereka menjalankan pematuhan pembayaran cukai secara sukarela.

“Kita hendak cuba alihkan wajah selama ini lebih sinonim dengan sebuah agensi penguatkuasaan, bila sebut LHDN, orang hanya bayangkan ‘lembaga’.

“Mereka lihat kami selalu dekati pembayar cukai untuk mendapatkan lebih wang dalam bentuk taksiran tambahan, penalti dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Hasil dan Media ‘An Evening To Remember’ di sini malam tadi.

Mohd. Nizom yang baru mengambil alih teraju LHDN pada Oktober lalu berkata tanpa menafikan aktiviti utama sebagai pentadbir cukai, pihaknya ingin memberikan lebih banyak kefahaman kepada masyarakat berhubung sistem percukaian negara.

Dalam masa sama kata beliau pihaknya tidak menyangkal bahawa keutamaan LHDN adalah meningatkan kecekapan pungutan cukai dengan kos paling minimum.

Untuk rekod katanya sejak dari 2011, LHDN berhasil mengutip cukai langsung lebih RM100 bilion setiap tahun.

“Ini merupakan satu pencapaian sangat cemerlang berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya yang berkhidmat bersama LHDN sejak 1985.

Justeru, jelasnya LHDN merangka strategi bagi memudahkan pematuhan cukai secara sukarela berteraskan inovasi dengan memanfaatkan sumber sedia ada dan proses penambahan baik dari semasa ke semasa

“Antaranya memudahkan urusan membayar cukai dengan pelbagai perkhidmatan boleh dicapai dalam talian dan digital.

“Kita juga akan tingkatkan kesedaran dan kefahaman percukaian dalam kalangan rakyat melalui sesi libat urus dan pemantapan aktiviti pendidikan percukaian,” katanya.

Tambah Mohd. Nizom LHDN juga akan memudahkan pematuhan cukai melalui aplikasi teknologi ‘big data’.

“Golongan ini (pembayar cukai) perlu diberi perhatian supaya perjalanan mereka ke arah pematuhan percukaian menjadi lebih mudah dan senang,” katanya.

Terdahulu beliau merakamkan terima kasih kepada pihak media atas sokongan memberikan laporan yang signifikan mengenai kegiatan LHDN dan isu-isu percukaian negara.

 


Pengarang :