Jurusuntik memasukkan vaksin dalam picagari untuk diberikan kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Booster di Klinik Selcare, Seksyen 13, Shah Alam pada 10 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lima DUN beri dos penggalak negeri mulai 17 Disember

SHAH ALAM, 15 DIS: Suntikan dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster diadakan di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 17 Disember hingga hujung bulan ini.

Bermula di Balakong pada Jumaat, program seterusnya di Bandar Utama pada 18 dan 19 Disember, Rawang (20 Disember), Taman Templer (26 Disember) dan Seri Kembangan (30 Disember).

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkata sebanyak 1,000 dos disediakan di Dewan Serbaguna MPS Batu 17 dengan pendaftaran melalui pautan https://shorturl.at/mqLNS.

“Program terbuka kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas yang lengkap vaksin Sinovac, pemohon layak akan dimaklumkan selepas penelitian oleh Selcare,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan pula menggesa penduduk yang mahukan dos penggalak itu supaya mendaftar segera di pusat khidmat masyarakat.

“Dianggarkan antara 500 ke 1,000 dos suntikan disediakan,” katanya menambah program berlangsung di Dewan Selayang Mulia, Gombak.

Wakil rakyat Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah memaklumkan pendaftaran untuk program di Kompleks 3K MBSJ Serdang Raya boleh dibuat menerusi https://bit.ly/sk-booster-vaksin.

Program sama di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Balakong bagi DUN Balakong dan Starling Mall, Petaling Jaya (DUN Bandar Utama) pula habis ditempah dalam tempoh beberapa hari.

Pada 7 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri ini melalui program Selvax Booster.


Pengarang :