Timbalan Ketua Pengarah (Produksi & Teknikal) Finas, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin menyampaikan Anugerah Insentif dan sijil penghargaan kepada penerima ketika majlis Perasmian Pameran Terbuka Galeri Shah Alam pada 9 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lima karya dipamer di Galeri Shah Alam terima Anugerah Insentif

SHAH ALAM, 10 DIS: Lima daripada 99 karya yang menyertai Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021 (PTGSA21) dipilih sebagai penerima Anugerah Insentif.

Penerima adalah Tan Jee Liang, Muhammad Syazwan Abd Rahim, Nur Shireen Lee Abdullah, Munif Mohd Nor dan Nur Khairi Hamidi Abdul Wahab.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah berkata barisan juri profesional menilai hasil karya dengan menekankan beberapa aspek antaranya tema, gubahan, teknik dan cara penyampaian.

“Kita terima 130 karya yang mahu sertai PTGSA21 namun hanya 99 karya sahaja dijurikan melibatkan catan dan arca.

“Kita tidak tumpu pada tema wabak Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sahaja sebaliknya termasuk budaya dan sejarah,” katanya ketika majlis meraikan pemenang semalam.

PTGSA21 dianjurkan secara maya sejak awal September hingga penghujung Oktober sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri itu.

Penerima anugerah menerima wang tunai berjumlah RM2,500 setiap seorang, trofi serta sijil penghargaan.

 


Pengarang :