Banjir kilat akibat limpahan air sungai dan perparitan mengakibatkan beberapa jalan di sekitar ibu kota ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ketika tinjauan pada 19 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lima laluan di ibu negara kekal ditutup setakat 1 tengah hari

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Lima laluan di sekitar pusat bandar masih ditutup dan dilencongkan setakat 1 tengah hari ini akibat banjir yang melanda ibu negara sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata laluan berkenaan melibatkan Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Smart.

Menurutnya, proses pembersihan jalan sedang giat dijalankan dan pengguna dinasihat menggunakan Jalan Tun Razak untuk ke pusat bandar.

“Polis ingin menasihatkan pengguna jalan raya agar mengelak daripada menggunakan atau melalui jalan yang terlibat dengan lencongan dan penutupan serta patuhi arahan anggota bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan hujan berterusan sejak dua hari lepas menyebabkan sebahagian besar laluan utama di sekitar pusat bandar dinaiki air bermula lewat malam tadi.

Antara kawasan yang ditenggelami air akibat limpahan Sungai Gombak adalah Dataran Merdeka dan sebahagian besar hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Raja di sini.

-BERNAMA

 


Pengarang :