Paras air di LRA Sungai Semenyih. Foto ihsan Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji rawatan Semenyih 2 dihenti tugas, air melimpah ke rumah pam

SHAH ALAM, 19 DIS: Satu lagi loji rawatan air terpaksa dihenti tugas iaitu LRA Semenyih 2 berikutan peningkatan paras air masuk ke rumah pam air mentah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. (Air Selangor) berkata berikutan itu, sebanyak 70 lagi kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Jelasnya para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Semenyih 2 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam Facebook hari ini.

Katanya, Air Selangor menggerakkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan  terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Terdahulu sebanyak 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan peningkatan paras sungai yang menyebabkan banjir.

Air Selangor berkata keadaan itu menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 manakala LRA Sungai Langat hanya menjana 40 peratus bekalan daripada pengeluaran harian.

“Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

“Di LRA Sungai Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40 peratus daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas berikutan banjir” katanya.


Pengarang :