Anggota bomba dan sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan Masjid Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang terjejas banjir ketika tinjauan pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lokasi terjejas banjir di Selangor, lima negeri menurun

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Situasi banjir setakat petang ini menunjukkan sedikit ‘sinar’ apabila jumlah lokasi yang terjejas di enam negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah, semakin menurun kepada 126 lokasi berbanding Rabu lepas iaitu 210 lokasi.

Pusat Kawalan Operasi Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lokasi itu membabitkan lapan daerah di Pahang, Selangor (lima), masing-masing dua di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan serta satu daerah di Terengganu, yang masih terjejas akibat banjir setakat 6 petang ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 40 jalan persekutuan dan 83 jalan negeri terjejas akibat kejadian banjir kilat, banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak.

Rentetan itu, beberapa laluan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan dan 15 laluan dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Kenyataan Nadma itu menyatakan enam laluan sudah mula dibuka kepada semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Pekan-Batu Balik dan FT 082 Pekan Batu Balik, Pekan, Pahang.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 6 petang ini sebanyak 40,738 mangsa banjir dari 11,882 keluarga yang masih berlindung di 257 PPS di lima negeri, berbanding 43,289 orang mangsa banjir tengah hari tadi.

– BERNAMA


Pengarang :