Pengguna 70 kawasan di Hulu Langat yang bergantung bekalan dari LRA Semenyih 2 sudah menerima air bersih sepenuhnya pada pukul 9 malam 20 Disember 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LRA Semenyih 2: Semua 70 kawasan terjejas sudah terima bekalan air bersih

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesemua 70 kawasan di Hulu Langat yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan bekalan dari Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 telah menerima bekalan air bersih.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata setakat pukul 9 malam ini, operasi LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2 telah dimulakan sepenuhnya dengan bekalan air dijangka pulih pada pukul 11 malam, 22 Disember.

“Bagi LRA Cheras Batu 11, proses pembersihan loji rawatan air berikutan insiden banjir sedang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Kata kenyataan itu, para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang telah pulih menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

“Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya.

Tambahnya Air Selangor perlu memastikan semua peralatan di loji rawatan air berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan kakitangan terutamanya melibatkan arus elektrik.

“Bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.


Pengarang :