Loji Rawatan Air Sungai Semenyih. Foto ihsan Air Selangor
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LRA Semenyih kembali operasi, bekalan air dijangka pulih malam esok

SHAH ALAM, 16 DIS: Bekalan air di 463 kawasan terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dijangka pulih sepenuhnya 11.30 malam esok.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata proses rawatan air mentah di loji terbabit sudah dimulakan berikutan tiada bau dikesan di muka sauk.

“Ini adalah untuk memastikan agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

Perkembangan berkaitan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas hari ini susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih pagi semalam.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :