Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop bercakap ketika sidang media pada Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sebuah hotel di Seksyen 14 Shah Alam pada 4 Mei 2021. foto Bernama
AGENSISELANGOR

LZS salur lebih RM3 juta bantu program pemutihan maahad tahfiz

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan bagi membantu program Pemutihan Maahad Tahfiz melibatkan peruntukan agihan zakat di bawah insiatif Zakat Selangor Peduli (ZSP) sebanyak RM3.35 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan ZSP tersebut disalurkan bagi membantu 350 maahad tahfiz bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos penyediaan dokumen Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta yuran-yuran berkaitan.

“Melalui sumbangan ZSP ini, ia bagi meringankan beban pengusaha maahad tahfiz terlibat agar dapat beroperasi sebagaimana ditetapkan dalam Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Selangor,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Saipolyazan berkata LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta di bawah ZSP pada 2 Julai lepas, bagi menyalurkan agihan zakat secara bersasar bertujuan menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan termasuk institusi, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata sebanyak 19 inisiatif bantuan ZSP disediakan yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :