Sukarelawan Team Selangor membantu mengalihkan perabot penduduk yang rosak akibat banjir di Kampung Ijok pada 23 Disember 2021. Foto TEAM SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS terima lebih 30,000 permohonan bantuan banjir RM600

SHAH ALAM, 27 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan bantuan RM600 kepada keluarga yang terkesan banjir bermula esok atau lusa menerusi akaun bank, dengan permohonan hanya memerlukan dokumen minimum iaitu laporan polis atau pengesahan daripada ketua masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata program tersebut yang dilancarkan 48 jam lepas, telah menerima 31,500 permohonan daripada mereka yang terkesan.

“Sebanyak 14,500 permohonan telah disahkan berserta dokumen, manakala 17,000 lagi permohonan dihantar tanpa dokumen lengkap,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata LZS memerlukan dokumen minimum supaya wang zakat itu dapat disalurkan secepat mungkin, meskipun jumlah RM600 tidak banyak, ia diharap membantu memudahkan mereka memulakan semula kehidupan selepas banjir.

Beliau berkata mangsa yang terjejas banjir boleh mengemukakan permohonan bantuan LZSPeduli secara dalam talian di pautan http://www.zakatselangor.com.my/lzspeduli.

Dalam masa sama, pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan LZS 2021 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini, LZS menerima zakat perniagaan daripada 46 syarikat berjumlah RM6.81 juta, yang akan diagihkan kepada 422,000 individu daripada 65,000 keluarga asnaf dan 13,000 keluarga dalam kategori miskin sementara di Selangor.

Radicare (M) Sdn Bhd mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM984,122, diikuti SIRIM Qas International Sdn Bhd (RM943,149) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM531,498).

Saipolyazan berkata syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaan masing-masing adalah Bank Muamalat Malaysia Bhd (RM496,078); Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd (RM440,811); Bank Pembangunan Malaysia Bhd (RM439,963) dan Etiqa Family Takaful Bhd (RM405,000).

“LZS turut menyampaikan pelbagai jenis bantuan zakat kepada individu dan persatuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM976,303,” katanya.

Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menerima Bantuan Hutang Maahad Tahfiz berjumlah RM853,303, diikuti Mohammad Nazri Sudinan yang merupakan asnaf miskin berdaftar dengan LZS menerima Bantuan Pembinaan Rumah berjumlah RM93,000.

Selain itu, Idris Abdul Hamid@Alias Yatim menerima Bantuan Perubatan RM30,000 serta dua individu menerima Dermasiswa Pengajian Tinggi LZS iaitu Aziemah Abdul Aziz sebanyak RM15,120 bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nazlifa Fisyabillah Noorazman dalam bidang perubatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima RM12,394.

Beliau berkata ketika pandemik dan banjir di Selangor, banyak pihak datang kepada LZS untuk membantu antaranya individu yang selama ini tidak membayar zakat di negeri ini mula membayarnya, selain syarikat atau individu yang menambah bayaran zakat mereka tahun ini.

Saipolyazan berkata terdapat juga negeri lain yang memberi bantuan kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kerana LZS dan Mais sebelum ini membantu apabila negeri mereka dilanda musibah, antaranya Sabah yang menyumbang RM100,000; Pulau Pinang (RM150,000); Kedah (12,000 kampit beras); Johor (4,000 bungkusan barangan kering); dan Perlis (kelengkapan solat bernilai RM20,000).

“LZS, agensi di bawah Mais mengucapkan terima kasih kepada negeri-negeri yang turut menyumbang dalam usaha kami membantu asnaf dan umat Islam di Selangor ketika kami dilanda pandemik dan banjir,” katanya.

Turut hadir Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Datuk Dr Abdul Rahman Abdullah.

-BERNAMA


Pengarang :