AGENDANASIONAL

Majoriti wilayah dapat semula bekalan air setakat 10 pagi

SHAH ALAM, 17 DIS: Sebahagian besar kawasan yang terjejas bekalan air akibat pencemaran Sungai Semenyih semalam pulih sekitar 72 peratus setakat jam 10 pagi tadi.

Wilayah Hulu Langat pulih 94.4 peratus, Putrajaya (87 peratus), Sepang (85.6 peratus), Kuala Langat (65 peratus) sementara Petaling (48.8 peratus).

“Bekalan air di semua kawasan terjejas akan diterima secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 11.30 malam, 17 Disember,” kata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor).

Syarikat itu menambah tempoh pemulihan bekalan air bergantung kepada lokasi dan jarak premis.

Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman web https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas semalam susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih sekali gus menjejaskan bekalan air di 463 kawasan.

Berikutan itu, Air Selangor menggerakkan bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air ke kawasan terkesan dan premis kritikal sepanjang tempoh berkenaan.

Senarai kawasan yang menerima air berperingkat-peringkat selepas bekalan distabilkan dimuatkan di Facebook syarikat berkenaan.


Pengarang :