Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Manfaat untuk semua, negeri saksama agih kekayaan

SHAH ALAM, 2 DIS: Semua rakyat negeri ini mendapat manfaat melalui pengagihan kekayaan secara saksama seperti dalam Belanjawan Selangor 2022 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November lalu.

Dokumen bertemakan Kita Selangor: Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani itu dirangka untuk menjaga kesejahteraan golongan berpendapatan rendah (B40), wanita, pelajar, Orang Asli dan warga tani.

Selain itu, belanjawan tahun hadapan memberi perhatian kepada pemulihan sektor ekonomi pascawabak Covid-19, perniagaan usahawan kecil dan penggiat industri pelancongan supaya mereka dapat bangkit kembali.

Meneruskan agenda kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri merangka inisiatif baharu melalui Iltizam Selangor Penyayang untuk memberdaya rakyat dan meningkatkan jaringan keselamatan sosial.

Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor antara inisiatif baharu diperkenal tahun depan, membabitkan peruntukan RM108 juta. Usaha itu dijangka memanfaatkan 30,000 keluarga yang akan menerima RM3,600 setahun atau RM300 sebulan bagi membeli barang keperluan, membayar yuran pendidikan anak-anak dan menyara kehidupan.

Inisiatif itu bagi menambah baik skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal supaya manfaatnya diperluaskan kepada seluruh keluarga.

Salah seorang penerima bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss). Foto ARKIB SELANGORKINI

Pesakit kronik daripada kumpulan B40 turut dibantu menerusi Iltizam Selangor Sihat yang menggantikan Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS), inisiatif dengan peruntukan RM46 juta itu akan memanfaatkan 90,000 orang termasuk penjawat awam negeri Gred 44 ke bawah.

Golongan B40 turut menikmati bantuan pemeriksaan kesihatan mata membabitkan peruntukan RM200,000 khusus kepada pelajar, program Blueprint Pembasmian Kemiskinan (RM2 juta) program meningkatkan kemahiran (RM1 juta), bina dan baik pulih rumah (RM1.2 juta).

Pada masa sama program Roda Darul Ehsan (RiDE) diteruskan dengan dana RM2 juta bagi membantu penghantar makanan dan barang.

Kesihatan awam juga menjadi fokus Kerajaan Negeri di bawah agenda perlindungan sosial. Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang menawarkan rawatan penyakit itu secara percuma kepada golongan berkelayakan diperkenal membabitkan peruntukan RM5 juta.

Inisiatif lain adalah RM800,000 bagi tabung rawatan penyakit tuberculosis atau tibi, bantuan Sihat Selangor untuk 4,000 pesakit talasemia serta barah dan saringan kesihatan percuma kepada 5,000 orang untuk mengurangkan risiko Covid-19 dengan dana RM1.5 juta.

Penghargaan kepada 402,000 warga emas dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diteruskan menerusi Iltizam Sayang Usia Emas membabitkan peruntukan RM27.5 juta. Ahli SMUE akan mendapat manfaat baucar beli-belah RM100 bagi bulan kelahiran mereka manakala RM500 untuk khairat kematian.

Bantu kanak-kanak

Golongan kanak-kanak juga tidak terkecuali dibantu. Belanjawan Selangor 2022 menyediakan inisiatif Iltizam Anak Selangor yang menyalur RM100 setahun sehingga 2026 dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional, RM500 untuk waris kematian bapa atau ibu akibat Covid-19 dan bantuan makanan berkhasiat kepada 700 orang di bawah program Anak Selangor Anak Sihat.

Inisiatif bagi sektor pendidikan pula meliputi bantuan RM1,000 kepada 3,000 mahasiswa baharu daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah Iltizam Mahasiswa Selangor, RM1 juta untuk Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor yang membolehkan pelajar mendapat pinjaman komputer riba dan peranti untuk pembelajaran.

Subsidi RM30 sebulan untuk murid kurang berkemampuan mengikuti pengajian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Integrasi juga diberi menerusi belanjawan kali ini.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program Tuisyen Rakyat Selangor mendapat peruntukan RM7 juta bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan pengukuhan kemahiran guru manakala RM3 juta bagi menyediakan data internet kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel).

Agenda prihatin pula menyediakan bantuan kepada orang kelainan upaya (OKU) membabitkan latihan kemahiran kepada individu berusia 18 tahun ke atas di Pusat Kehidupan Berdikari yang diwujudkan dengan kos RM1 juta dan RM3 juta bagi inisiatif membantu anak istimewa di bawah Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS).

Belanjawan Selangor 2022 turut mengukir senyuman golongan hawa dengan pelaksanaan beberapa inisiatif khusus. Sebanyak RM5.03 juta diperuntuk untuk menjalankan aktiviti di bawah Wanita Berdaya Selangor dan Akademi Kepimpinan Wanita.

Kerajaan Negeri juga menyediakan biasiswa RM200,000 untuk wanita melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana menerusi program pembelajaran sepanjang hayat dengan kerjasama Open University Malaysia.

Isu keganasan domestik turut mendapat pembelaan menerusi Dana Bantuan Guaman Selangor berjumlah RM1 juta. Program itu dilaksana dengan kerjasama Majlis Peguam Selangor dan Pusat Bantuan Guaman Selangor. Selain itu, RM200,000 disediakan bagi menambah baik talian khas aduan isu keganasan rumah tangga.

Bagi Orang Asli pula, kumpulan itu menikmati peruntukan RM1.5 juta yang akan dimanfaaatkan untuk membina dan membaik pulih kediaman selain menaik taraf kemudahan di perkampungan masyarakat terbabit.

Petani menunjukkan anak benih padi sah MR219 yang diterima semasa program bantuan anak benih padi di Parit 11 Timur, Sabak Bernam pada 9 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Selaras usaha meningkatkan taraf hidup warga tani dan menyokong dasar jaminan makanan, pembiayaan Skim i-Agro Yayasan Hijrah Selangor yang bernilai RM52 juta disediakan kepada 2,000 usahawan tani. Setiap usahawan tani ini boleh memohon sehingga RM26,000 untuk memajukan pertanian mereka.

Bantuan peralatan, petrol serta bantuan bahan mentah untuk menyokong proses produk hiliran akan terus diberi kepada nelayan, penternak dan petani untuk tambahan pendapatan mereka.

Pinjaman untuk usahawan

Usahawan antara kelompok utama terkesan penularan Covid-19 diberi perhatian dalam dokumen penting itu. Pada tahun depan RM120 juta diperuntuk untuk biaya usahawan menerusi Hijrah Selangor dengan RM10 juta khusus bagi meningkatkan perniagaan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga RM100,000.

Bagi usahawan mikro di daerah, Kerajaan Negeri menyediakan bantuan RM2 juta di bawah Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) manakala Dana Usahawan India Selangor yang menyediakan bantuan alat niaga diteruskan dengan dana RM1.146 juta.

Inisiatif pendigitalan usahawan bagi menjamin kelangsungan perniagaan terutama peniaga kecil dipergiatkan menerusi platform Rakan Digital dan Platform Selangor (PLATS) dengan peruntukan RM6 juta manakala RM5 juta untuk Geran Padanan Digital SIDEC.

Peniaga Takoyaki Khalid Idris, 56, menyiapkan tempahan pelanggan di Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pinjaman dana sebanyak RM300 juta disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Selangor Advance supaya dapat meningkatkan aliran tunai. Dianggarkan jumlah itu dapat membuat kitaran pembiayaan sehingga RM1 bilion pada 2022 dan 2023 serta menyelamatkan 150,000 peluang pekerjaan sekali gus mengelakkan penutupan operasi 5,000 PKS.

Penggiat sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dibela melalui inisiatif berjumlah RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025. Antaranya geran bantuan pemulihan serta pemerkasaan kempen promosi pelancongan.

Usaha merangsang semula industri itu turut membabitkan pembangunan aplikasi rasmi pelancongan negeri, Go Selangor yang dijangka beroperasi Februari depan. Seramai 100,000 pengusaha akan mendapat manfaat yang dibantu dengan tawaran baucar kepada pelancong.

Golongan belia tidak terkecuali menerima laba Belanjawan Selangor 2022. Sebanyak RM2.8 juta diperuntuk menerusi Penggerak Belia Selangor (PeBS) bagi menggerakkan aktiviti generasi muda negeri ini.

Peruntukan membina dan membaik pulih kemudahan sukan juga dipertingkatkan daripada RM2.2 juta kepada RM4 juta selain dana RM1.2 juta untuk pembangunan e-sukan di daerah. Manakala RM1 juta disedia untuk penganjuran liga akar umbi.

Kumpulan Caliph Buskers membuat persembahan pada program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 21 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Bagi merancakkan kegiatan seni dan budaya di negeri ini, RM1.2 juta bagi aktiviti seperti Buskers Selangor yang membantu pemuzik jalanan manakala penggiat nasyid menerusi Senandung Da’i.

Sememangnya Belanjawan Selangor 2022 membuktikan iltizam Kerajaan Negeri menjaga kesejahteraan masyarakat dan memacu pembangunan yang bersesuaian dengan norma baharu.


Pengarang :