Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar luahan mangsa banjir ketika meninjau kawasan terkesan di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir berkurang kepada lebih 2,000 di pusat pemindahan

HULU LANGAT, 29 DIS: Lebih 2,000 mangsa banjir ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 8 pagi tadi.

Dato’ Menteri Besar berkata jumlah PPS yang masih beroperasi juga semakin berkurangan jika dibandingkan tempoh awal kejadian banjir iaitu 203 PPS dengan melibatkan 47,000 mangsa.

“Jumlah ini tidak termasuk mangsa di dalam rumah dan kita juga sedang mengenal pasti individu keseluruhan sebagai penerima sumbangan.

“Setakat ini, semua kawasan dinaiki air sudah surut termasuk di Kuala Selangor dan proses pembersihan giat dijalankan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas meninjau pascabanjir di Hulu Langat hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang giat mengumpul semua keperluan untuk mangsa banjir terutama dapur dan tong gas.

“Buat masa ini, kita sudah ada penyumbang dan mengumpul 5,000 keperluan serta jangka disalurkan kepada mangsa banjir minggu hadapan.

“Kita galakkan mereka memberi sumbangan keperluan asas lain seperti tilam, bantal, dapur, tikar dan gas yang juga diperlukan mangsa banjir selain daripada makanan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin melawat dan membersihkan kawasan sekitar Hulu Langat yang terjejas teruk akibat banjir di Taman Sri Nanding seawal jam 8 pagi tadi.

Beliau turut melepaskan bantuan ke kampung Orang Asli (Malim Gunung) di Pekan Batu 18 dan menyerahkan sumbangan pascabanjir ke pusat pemindahan sementara Sungai Serai.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.


Pengarang :