Sukarelawan Team Selangor membantu membersihkan rumah penduduk yang terlibat banjir di Kampung Kenangan, Puchong pada 23 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mangsa banjir boleh mohon dalam talian bantuan bersih rumah

SHAH ALAM, 28 DIS: Mangsa banjir yang memerlukan bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah boleh membuat permohonan menerusi laman web www.teguhbersama.com.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata platform itu juga membolehkan orang ramai menyumbang derma untuk meringankan beban mereka yang terkesan.

“Mangsa boleh memohon bantuan menguruskan rumah atau mengutip sisa sampah kesan banjir, hasil inisiatif Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze.

“Terima kasih kepada semua termasuk syarikat swasta dan kumpulan sukarelawan yang datang dari seluruh negara untuk membantu Selangor,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir dengan Amirudin menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Ref: Tabung Ikhtiar).


Pengarang :