Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media khas berkenaan isu banjir di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir dapat rebat air sebulan, usahawan Hijrah terima moratorium

SHAH ALAM, 21 DIS: Kerajaan Negeri hari ini bersetuju mengecualikan bayaran bil air selama sebulan kepada semua pemegang akaun yang terkesan dengan banjir.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media khas di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri sebentar tadi.

“Saya berbincang dengan ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor dan dia minta senarai untuk kenal pasti kawasan terjejas,” katanya.

Beliau turut mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas akibat bencana itu dengan kesan kewangan RM15 juta.

Sebanyak 203 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah seluruh negeri bagi menempatkan 30,632 mangsa banjir setakat jam 8 pagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

 


Pengarang :