Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media berkenaan situasi banjir dan bantuan Selangor Bangkit di bilik Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), Shah Alam pada 27 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Mangsa banjir di PPS tidak perlu isi borang bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 27 DIS: Mangsa banjir yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta atau swasta tidak perlu mengisi borang bantuan RM1,000, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata senarai nama penerima akan diperoleh daripada PPS bagi memudahkan dan menyegerakan sumbangan menerusi inisiatif Selangor Bangkit.

“Semua yang mendaftar di PPS awam mahupun swasta tidak perlu memohon manakala yang tidak tinggal di PPS boleh hadir ke pusat sehenti yang diwujudkan bagi memudahkan proses pengesahan dan penyaluran,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, hanya mangsa kategori tiga iaitu yang kekal di rumah sewaktu kejadian perlu mengisi borang berkenaan memandangkan maklumat peribadi mereka tidak diperolehi.

“Untuk kategori ini pegawai akan pergi rumah ke rumah untuk buat pendaftaran dan dilaksanakan mulai awal Januari depan.

“Mangsa hanya perlu membuat laporan polis sekiranya hilang dokumen pengenalan diri. Mangsa digalakkan juga datang ke pusat sehenti untuk mengisi borang atau boleh muat naik borang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pendaftaran dan agihan bantuan itu akan bermula secara berperingkat mulai Rabu ini.

Semalam beliau berkata bantuan terbabit dijangka selesai diagih kepada semua mangsa menjelang penghujung Januari.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.


Pengarang :