Mangsa banjir membersihkan rumah setelah air mula surut di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 25 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Mangsa banjir harap negeri lanjut tempoh pengecualian bil air sebulan

SHAH ALAM, 26 DIS: Seorang mangsa banjir berharap Kerajaan Selangor mempertimbang pengecualian bayaran bil air dilanjutkan sebulan lagi.

Wan Faizal Ariff Wan Abd Rahim, 43, berkata tambahan tempoh itu perlu selepas mengambil kira banyak wang digunakan mangsa ketika berdepan pascabanjir.

Wan Faizal Ariff Wan Abd Rahim

“Sebulan kita banyak guna air untuk cuci rumah, sebulan lagi kita perlu rancang semula kewangan untuk baik pulih mana-mana barang yang perlu dibaik pulih.

“Apabila Kerajaan Negeri beri percuma sebulan lagi, wang yang perlu bayar bil air mungkin boleh guna untuk beli barang yang lebih penting,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) semalam.

Pada masa sama, Wan Faizal Ariff berharap perkhidmatan air juga dapat dibaiki supaya tiada lagi masalah terputus bekalan air selepas ini.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri bersetuju mengecualikan bayaran bil air selama sebulan kepada semua pemegang akaun yang terkesan dengan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah sejak Sabtu minggu lalu.


Pengarang :