Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Syifa Amirah Fauzi. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Mangsa banjir manfaat masa di Pustaka Raja Tun Uda fokus belajar

SHAH ALAM, 20 DIS: Mangsa banjir terutama pelajar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berteduh di Pustaka Raja Tun Uda di sini sejak Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran dalam suasana selesa.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Syifa Amirah Fauzi, 20, berkata bahan bacaan yang banyak dan suasana kondusif membantunya untuk fokus dalam pembelajaran.

Menurut pelajar dalam bidang forensik itu, dia sebenarnya datang pada Sabtu lalu untuk mengulangkaji pelajaran tetapi tidak boleh pulang ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom kerana jalan telah dinaiki air.

“Bayangkan saya tidak buat sebarang persediaan seperti pakaian tambahan, hanya bawa buku sahaja.

“Mujur ada bantuan pakaian, selimut dan makanan disediakan,” katanya yang menghargai usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menjadikan Pustaka Raja Tun Uda sebagai tempat perteduhan mangsa banjir.

Pelajar universiti swasta Muhammad Bustamam Sohaimi. Foto AMIN RIDZUAN ISHAK/SELANGORKINI

Bagi pelajar perubatan universiti swasta, Muhammad Bustamam Sohaimi, 20, dia mendapatkan perlindungan di bangunan itu kerana bekalan elektrik di rumah sewanya di Seksyen 13 di sini terputus kerana banjir.

“Jadi sukar untuk mengulangkaji kerana komputer riba dan telefon perlu dicaj, jadi saya datang ke sini kerana ada pelbagai kemudahan.

“Boleh saya fokus belajar dan ikut kelas dalam talian,” katanya.

PPAS membuka Pustaka Raja Tun Uda di sini sebagai tempat berteduh kepada mangsa terjejas dalam bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu.


Pengarang :