Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahan bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Mangsa banjir sifatkan bantuan negeri cepat, ringankan beban

GOMBAK, 31 DIS: Mangsa banjir di Jalan Bachang Tanah Gantian, Sungai Tua di sini menyifatkan agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) cepat dan meringankan beban penduduk.

Suri rumah Darni Che Mat, 55, berkata bantuan diberikan itu boleh digunakan untuk membaiki rumah dan membeli keperluan harian.

Darni Che Mat, 55. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kejadian banjir kali ini memberi kesan kepada saya kerana suami meninggal dunia pada 26 November lalu akibat serangan jantung.

“Apabila ketua kampung memaklumkan mangsa bencana di kawasan perumahan ini menerima bantuan RM1,000, saya bersyukur kerana tidak perlu menunggu lama dan dapat membeli keperluan seperti almari yang rosak,” katanya kepada SelangorKini.

Peniaga Mohd Mahrami Hanafi, 47, berkata beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memudahkan urusan agihan bantuan dan dapat menggunakannya untuk membeli kelengkapan anak-anak yang masih bersekolah.

Mohd Mahrami Hanafi, 47. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Insya-Allah bantuan ini juga digunakan untuk membeli keperluan penting yang rosak akibat rumah dinaiki air,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari depan.


Pengarang :