Dr Siti Mariah Mahmud berucap merasmikan sambutan Hari OKU Sedunia 2021 peringkat negeri yang diadakan serentak dengan Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masyarakat diingat patuh SOP, waspada varian Omicron

SHAH ALAM, 3 DIS: Masyarakat diingatkan terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan susulan penemuan varian membimbangkan (VOC) Omicron di negara ini, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal mengekang perebakan Covid-19.

“Kita masih belum jelas sejauh mana kesan Omicron ini, adakah lebih ganas berbanding varian Delta atau tidak. Justeru masyarakat perlu waspada serta kekalkan disiplin apabila berada di tempat awam.

“Bagaimanapun saya yakin Jabatan Kesihatan Negeri Selangor meneliti lanjut virus ini dan tidak ambil lewa,” katanya selepas menghadiri sambutan Hari OKU Sedunia peringkat negeri yang berlangsung serentak dengan Pesta Buku Selangor 2021.

Semalam, menteri kesihatan memaklumkan kes pertama Omicron dikesan di negara ini melibatkan seorang penuntut antarabangsa yang belajar di Ipoh, Perak.

Khairy Jamaluddin berkata pelajar berusia 19 tahun itu yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November menjalani ujian RT-PCR Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu Dr Mariah berkata sekolah dicadang melaksanakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) sebagai langkah mencegah wabak.

“POIS yang dilaksanakan di kilang bagi mengekang kluster tempat kerja wajar diperluaskan ke institusi pendidikan. Sudah ada sekolah yang melaksanakannya.

“Penularan di sekolah sudah dijangka berlaku cuma kita harap ia tidak menimbulkan satu persatu kluster,” katanya.

Semalam Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarah tutup sementara waktu berikutan terdapat 135 kes baharu Covid-19 dikesan di membabitkan warga sekolah berkenaan.

 


Pengarang :