AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

MB ajak ambil peluang 5,000 slot percuma sertai larian maya

SHAH ALAM, 14 DIS: Dato’ Menteri Besar mengajak warga negeri ini menyertai program larian Ayuh Selangor 1.0 yang diadakan secara maya bermula 31 Disember depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan MOVE-ON itu menyediakan sebanyak 5,000 slot percuma untuk anak Selangor yang berminat menyertainya.

Menurut beliau, peserta boleh melengkapkan larian sejauh 10 kilometer (km) pada bila-bila masa dan lokasinya sendiri dalam tempoh 31 Disember hingga 14 Januari tahun depan.

Beliau percaya penganjuran program larian Ayuh Selangor 1.0 itu boleh menjadi petunjuk tahap ekonomi dan kesihatan awam negeri ini selain menggalakkan persekitaran sihat.

“Melalui mesej dan semangat kempen Ayuh Selangor 1.0, kita boleh mengharungi cabaran dan kesukaran tanpa rasa takut.

“Covid-19 mengajar kita tidak menyerah kepada kesusahan tetapi bersikap optimis, positif dalam membuat keputusan bijak, merenung apa yang berlaku di sekeliling dan mengambil berat terhadap rakan serta keluarga kita,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Untuk pendaftaran dan maklumat berhubung program larian Ayuh Selangor 1.0, layari Facebook Amirudin dan laman sesawang MOVE-ON di https://www.mov3on.com/.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian 011- 2616 6839. Pendaftaran dibuka mulai 8 hingga 31 Disember.


Pengarang :