Petugas KDEBWM membersihkan longgokan sampah pascabanjir sekitar Klang pada 24 Disember 2021. Foto Twitter KDEBWM
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB arah segerakan kerja bersihkan sisa banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Dato’ Menteri Besar mengarahkan agar kerja pembersihan di beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam terjejas banjir dipercepatkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses pembersihan pascabanjir di dua lokasi terbabit mencapai tahap 50 peratus setakat ini.

“Saya arahkan supaya proses ini disegerakan bagi kawasan yang masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Kita telah berhubung dengan beberapa pihak untuk tambah jumlah lori. Saya juga memberi arahan agar proses kerjasama dengan sukarelawan dan NGO (badan bukan kerajaan) dipermudahkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri mahu menyelaras aspek berkenaan supaya koordinasi lebih tersusun bagi mengelak pembaziran.

“Koordinasi ini juga penting bagi tujuan keselamatan sukarelawan,” menurutnya.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pascabanjir di Klang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :