SHAH ALAM, 19 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan penduduk di Taman Sri Muda di sini yang masih terperangkap akibat banjir diselamatkan secepat mungkin.
Menyifatkan kawasan itu paling kritikal sejak bah luar biasa melanda negeri, beliau mengarahkan lebih 1,000 orang di lokasi berkenaan dipindahkan dalam masa 24 jam.
“Saya telah minta Dato Bandar Shah Alam bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Awam untuk keluarkan seramai mungkin penduduk sebab hanya Seksyen 23, 24, 25 yang belum keluar sepenuhnya.
“Kita atur strategi untuk pindahkan mangsa termasuk minta bomba bawa mereka keluar. Saya harap ia boleh diselesaikan secepat mungkin, kita sasar dalam tempoh 24 jam,” katanya selepas menyertai operasi menyelamat antara jam 5.30 hingga 9 malam di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda.
Beliau turut mengakui usaha menyelamat penduduk berdepan cabaran suasana gelap dan air belum surut selain kereta terbengkalai yang menyukarkan pergerakan bot menyelamat.
Petang tadi, Kementerian Pertahanan dalam kenyataan menyebut anggota tentera darat dari Divisyen Keempat Infantri Malaysia yang menjalankan operasi menyelamat berdepan kesukaran ekoran laluan bot terganggu objek yang tenggelam.