Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat mangsa banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Bantuan banjir diberi mulai esok, manfaat lebih 30,000 keluarga

SEPANG, 28 DIS : Lebih 30,000 keluarga terjejas banjir menerima bantuan menerusi program Selangor Bangkit mulai esok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu turut meliputi keluarga mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita akan memanggil semula keluarga yang sudah pulang ke rumah dari PPS. Bagi yang enggan berpindah ke PPS ketika bencana juga akan menerima bantuan ini, kita akan cuba mengenal pasti mereka.

“Di Sepang sahaja 9,000 keluarga tidak berpindah ke PPS, yang di PPS lebih 9,000 keluarga. Jumlah di sini sahaja sudah mencecah lebih 18,000, belum kira kawasan lain.

“Di Taman Sri Muda pun kita sedang kira angkanya dan saya rasa mencecah lebih 30,000 keluarga terima bantuan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pascabanjir di Sepang di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan kediaman di Kampung Chemperai Dengkil selain meninjau kerja baik pulih jambatan menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

 

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari membantu penduduk membersihkan kawasan terlibat banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :