Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat keadaan rumah yang terjejas akibat banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Bantuan RM1,000 kepada keluarga mangsa banjir selesai hujung Januari

KUALA LANGAT, 26 DIS: Bantuan RM1,000 kepada keluarga yang terkesan akibat banjir di negeri ini dijangka selesai diagih pada hujung Januari depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tatacara permohonan akan diumum esok bagi memudahkan orang ramai yang terkesan mendapat bantuan segera.

“Urusan menyelamatkan nyawa kita sudah buat. Sekarang proses pembersihan, pemulihan kawasan terjejas. Selain itu bantuan makanan juga masih diteruskan.

“Jadi bulan ini dijangka serahan bantuan RM1,000 mula dilaksana dan semua akan dapat pada penghujung Januari,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau keadaan pascabanjir antaranya di Taman Langat Utama dan Masjid Ar Rahman serta Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu penduduk ketika meninjau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :