Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media khas berkenaan isu banjir di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri di Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Belajar dari tragedi, bina semula Selangor lebih tangkas

SHAH ALAM, 25 DIS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat menyambut Krismas kepada semua penganut Kristian khususnya di Selangor serta di seluruh negara walaupun sambutan kali ini mungkin berbeza dari sebelumnya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jika pada tahun lalu negara berjuang memerangi Covid-19 kali ini tragedi banjir yang melanda negara menyebabkan sekurang-kurangnya 37 keluarga kehilangan insan tersayang, 70,000 terpaksa dipindahkan manakala 15,000 mengalami kerosakan harta benda.

“Ia telah menyebabkan penderitaan, gangguan emosi dan fizikal, tetapi kita telah dan akan pulih daripada tragedi ini.

“Kami mengakui kehilangan dan kesakitan ini, bukan untuk mengenang masa lalu dan bukan untuk bergelumang dalam kesedihan. Kami ingin mengukuhkan komitmen dan harapan sebagai pendorong untuk membina Selangor yang lebih kukuh dan teguh.

“Walaupun tragedi yang melanda hujung minggu lalu akan menyebabkan sambutan kali ini sepi, tetapi semangat Krismas memberi dan menjadi penjaga saudara-saudari kita lebih bermakna daripada sebelumnya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata Kerajaan Negeri komited belajar daripada tragedi itu dan membina semula Selangor agar lebih tangkas dan dapat mengurangkan kesan akibat perubahan iklim yang tidak menentu pada masa akan datang.

“Keutamaan segera kami adalah melalui #SelangorBangkit untuk membawa orang ramai pulang ke rumah mereka secepat mungkin. Keperluan asas selain makanan akan terus disalurkan, selain beberapa langkah yang saya umumkan awal minggu ini.

“Bagi yang melancong semasa cuti, rancang perjalanan anda dan lakukan ujian kendiri kerana Covid-19 masih ada dalam kalangan kita.

“Memandangkan corak cuaca serantau masih tidak menentu, saya mohon agar anda lebih berhati-hati. Jika pihak berkuasa meminta anda berpindah, patuhi nasihat mereka dan jangan berlengah,” katanya.


Pengarang :