AGENDANASIONAL

MB junjung kasih, tahniah kepada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-76

SHAH ALAM, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar  yang mewakili kepimpinan negeri dan rakyat jelata menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan Baginda ke-76 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan Sultan Sharafuddin dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT.

“Patik mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

“Doa sekalian rakyat juga untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” ucap beliau menerusi Facebook.

Menurut Amirudin, keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat sentiasa menjadi inspirasi buat beliau dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan penduduk dan kesentosaan negeri.

“Akhirul kalam patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,”katanya.

 


Pengarang :