Norsila Zulkamal, 50, membersihkan rumahnya ketika tinjauan keadaan selepas banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat pada 22 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MB: Kepala air dari gunung punca banjir Hulu Langat

SHAH ALAM, 28 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

Beliau berkata kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

Beliau juga memaklumkan tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media.

“Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir).

“Daripada taklimat awal yang diperolehi, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir semalam.

Dalam pada itu, Amirudin mengakui pembinaan sebatang tiang untuk projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini memutuskan sebuah ban lalu menyebabkan air melimpah.

“Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

“Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :