Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana pada 22 Disember 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB ketuai mesyuarat urus bencana, bincang usaha pemulihan pasca banjir

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana malam ini bagi membincangkan tindakan pasca banjir di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mesyuarat berkenaan bertujuan mendengar pelaporan serta taklimat situasi terkini daripada semua agensi terlibat.

“Mesyuarat turut membincangkan untuk meningkatkan usaha bagi proses pembersihan serta fasa pemulihan di semua kawasan yang terbabit,” katanya menerusi Facebook.

Tanpa mengambil kira perbezaan politik, beliau berkata mesyuarat tersebut turut disertai Ketua Pembangkang Selangor Datuk Rizam Ismail.

“Ia sebahagian usaha Kerajaan Negeri untuk bersama semua pihak tanpa mengira perbezaan pandangan politik bagi sama-sama membantu rakyat,” katanya.

Agensi yang terlibat dalam mesyuarat itu ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Meteorologi dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 mm mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 192 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri menurun kepada 29,024 orang setakat ini.


Pengarang :