Adhwa Afiqah Mohd Azmi, 25, membawa anak saudaranya ke Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

MB lancar buku terbaharu Maszlee, wakil rakyat Hulu Kelang esok

SHAH ALAM, 3 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bakal merasmikan Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini petang esok.

Beliau juga dijangka melancarkan buku baharu tulisan mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bertajuk Helang Albaniah.

Tiga lagi buku turut dilancarkan adalah hasil karya Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib (Herba Selangor: Warisan Rahsia Bonda), Dinsman atau Shamsudin Osman (Ketika Aku Berfikir-fikir Akan Kematian) serta Fudzail (Kumpulan Cerpen Fudzail 50!).

Amirudin seterusnya dijadual merasmikan Projek Usahasama Rangkaian Jalur Lebar SMARTSEL dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Pesta buku memasuki hari ketiga itu juga bakal menampilkan Sasterawan Negara Prof Dr Siti Zainon Ismail menerusi program Hati dan Minda Sasterawan.

Penganjuran kali ke-16 itu diadakan pada 2 hingga 12 Disember depan berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menampilkan tokoh dan selebriti terkenal antaranya angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan Dr Maszlee.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :