Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Sambutan Deepavali dan Krismas KEADILAN Selangor di Dewan Sivik, Petaling Jaya pada 5 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Lebih 170,000 individu sertai saringan percuma Selangor

SHAH ALAM, 6 DIS: Lebih 177,000 individu menerima manfaat program saringan percuma yang dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi mengekang penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut menyumbang 60,000 kit ujian kendiri kepada mangsa Covid-19 bertujuan memudahkan keluarga pesakit memantau tahap kesihatan diri.

“Negeri lain tunggu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) buat saringan tapi kita buat sendiri. Kalau negeri lain tunggu vaksin (tapi) kita beli sendiri untuk pastikan rakyat cepat divaksinasi.

“Dalam tempoh hampir dua tahun ini kita berjaya tentang dengan kaedah dan cara sendiri. Ini bukan perkara kecil,” katanya.

Beliau berucap di majlis sambutan Deepavali dan Krismas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor malam tadi. Turut hadir Naib Presiden parti Tian Chua dan Timbalan Pengerusi negeri Hee Loy Sian.

Jelas Amirudin bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik pihaknya turut menyediakan lima pakej rangsangan ekonomi melibatkan kos lebih RM1.1 bilion.

Pada Mac 2020, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa.

Diikuti pakej fasa kedua pada 1 April bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak diikuti Pelan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pakej itu sekali lagi diumumkan pada 9 Jun dengan nilai RM551.6 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :