Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selapas meninjau keadaan kediaman mangsa banjir di Padang Jawa, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB mahu tumpu pascabanjir, bincang isu siapa pengerusi MKN kemudian

SHAH ALAM, 23 DIS: Dato’ Menteri Besar mahu memberi tumpuan dalam menangani isu pascabanjir di negeri ini berbanding membincangkan soal siapa pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan Kerajaan Negeri tidak terganggu dengan isu berkenaan tetapi beliau sedia membincangkan perkara itu selepas urusan membantu mangsa banjir selesai.

“Saya hendak selesaikan masalah ini (pascabanjir), selepas itu kita bincang siapa pengerusi. Tidak ada masalah bagi saya.

“Saya terima arahan malam pada 21 Disember dan malam tadi buat mesyuarat dan berharap koordinasinya akan terus berlaku,” katanya meninjau operasi pembersihan pasca banjir di Padang Jawa hari ini.

Pada 21 Disember, Amirudin menerima panggilan MKN selepas  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat majlis berkenaan, yang meminta beliau mempengerusikan MKN Selangor.


Pengarang :