Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika menijau keadaan selepas banjir di Kampung RTB Bukit Changgang, Kuala Langat pada 26 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pemakluman sukarelawan ke misi bantuan banjir untuk tujuan keselamatan

SHAH ALAM, 26 DIS: Dato’ Menteri Besar meminta masyarakat membaca kenyataan penuhnya berhubung sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir perlu memaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu dilakukan supaya kehadiran individu atau kumpulan itu ke lokasi bencana diketahui pihak berkuasa.

“Pemakluman ini harus dibuat bagi tujuan keselamatan. Agar pihak berkuasa tahu siapa yang masuk ke kawasan banjir. Kedua bagi tujuan koordinasi agar bantuan tidak hanya tertumpu ke sesuatu kawasan sahaja,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Amirudin menerusi hantaran berbeza juga mengulangi asas utama tindakan itu dibuat iaitu demi keselamatan.

“Keselamatan adalah asas utama. Saya dimaklumkan pihak polis ada sukarelawan yang turut menjadi korban, kita ucapkan takziah namun perkara ini tidak boleh berulang.

“Isu permohonan bantuan juga saya telah minta permudahkan namun kita tak boleh ‘compromise’ isu keselamatan,” katanya.

Kelmarin, beliau dilaporkan berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi dan sukarelawan yang menyertai misi bantuan mangsa banjir di Selangor perlu memaklumkan kehadiran mereka kepada Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata langkah itu akan memudahkan pihaknya menerusi Majlis Sukan Negeri bagi menyelaraskan pergerakan sukarelawan seterusnya menumpukan kawasan lebih memerlukan bantuan.

“Saya jangkakan menjelang perayaan Krismas, menjelang hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.

“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan) tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja kerana penumpuan yang kurang di satu tempat tetapi terlebih tumpu di satu tempat yang lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio.


Pengarang :