Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad (dua, kiri) beramah mesra dengan pengunjung Pesta Buku Selangor 2021 pada 4 Disember 2021. Foto RADIN WAZIR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Pesta Buku Selangor dapat sambutan, 200,000 dijangka hadir

SHAH ALAM, 4 DIS: Seramai 200,000 pengunjung disasar sertai Pesta Buku Selangor 2021 yang berlangsung selama 11 hari di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Dato’ Menteri Besar berkata jangkaan itu merangkumi penyertaan secara fizikal serta platform dalam talian sepanjang 2 hingga 12 Disember ini.

“Kita lihat sambutan menggalakkan. Jualan juga memberangsangkan khususnya pembelian peralatan masuk sekolah, buku ilmiah serta barangan lain.

“Di samping memberi manfaat kepada pencinta buku, pesta ini turut membantu ekonomi peniaga yang terkesan akibat penularan Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan program berkenaan.

Beliau berkata penganjuran kali ke-16 ini turut memuatkan seminar penerbitan buku pengisian khas kanak-kanak.

“Saya rasa di kawasan Asia Tenggara tak ada lagi yang spesifik timbulkan atau tumpukan aspek ini. Kita percaya ada pengikutnya yang tersendiri dan banyak bahan boleh diterokai.

“Kita turut sediakan kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) dan dilaksanakan dengan penjagaan jarak bagi mengekang wabak Covid-19,” katanya.

Dalam majis sama Amirudin turut merasmikan Projek Usahasama Rangkaian Jalur Lebar SMARTSEL dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

“Projek ini memberi capaian internet kepada perpustakaan di sembilan daerah seluruh Selangor. Ini projek permulaan dan akan diperhalusi belanjawannya.

“Kalau dibenar untuk pelaksanaan (sepenuhnya) mungkin akan ambil dana Kerajaan Negeri atau MBI (Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)),” katanya.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan. Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.


Pengarang :