Selangorkini
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang Dewan Negeri Selangor pada 3 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADN AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: PKNS mampu capai untung, kerugian rosot nilai hanya sementara

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerugian Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disebabkan rosot nilai hanya bersifat sementara dan ia boleh berbalik kepada keuntungan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keuntungan boleh dicapai apabila ‘net tangible assets’ (NTA) atau aset ketara bersih menunjukkan peningkatan.

Beliau menjelaskan rosot nilai dua syarikat iaitu Datum Corporation International Sdn Bhd dan De Palma Management Services Sdn Bhd itu adalah kesan langsung daripada kelembapan sektor hartanah dan pandemik Covid-19.

“Rosot nilai dibuat setelah mengambil kira pandangan Jabatan Audit Negara disebabkan NTA dalam anak-anak syarikat adalah lebih rendah berbanding nilai pelaburan yang dibuat PKNS.

“Ia bertujuan untuk menggambarkan keadaan sebenar sesuatu pelaburan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), Jumaat lalu.

Amirudin berkata, pelaburan Datum International Corporation adalah bernilai RM715 juta manakala De Palma Management Services bernilai RM42 juta dalam bentuk saham keutamaan boleh tebus yang direkod sebagai liabiliti berbanding ekuiti.

Katanya, pentaksiran rosot nilai ke atas syarikat tersebut masing-masing bernilai RM589.9 juta dan RM34.5 juta.

“Bagaimanapun nilai rosot nilai ini boleh berbalik kepada keuntungan sekiranya nilai NTA menunjukkan peningkatan serta kedudukan kewangan syarikat yang kukuh dalam kata lain kerugian merupakan kerugian sementara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Jelas beliau PKNS melakukan pelbagai kaedah bagi memastikan kerugian yang dialami dapat dikurangkan termasuk mengadakan siri jelajah di luar Selangor.

“PKNS bukan berdiam diri sahaja, kita laksana pelbagai langkah. Baru-baru ini kita buat jelajah di banyak negeri, sampai Kelantan kita juga jual.

“Kita dapat membuat jualan sampai RM11 juta dan juga di negeri-negeri lain untuk menyelesaikan aset-aset tertangguh,” katanya.

Amirudin berkata situasi yang dialami PKNS ini bukan perkara baharu kerana pada 2018, stok aset tertangguh pernah mencecah sehingga RM1.6 bilion ketika beliau mula menyandang jawatan Menteri Besar serta Pengerusi PKNS.

“Hasil daripada beberapa pelan untuk pelaburan, penjualan, promosi yang kita lakukan dalam tempoh 2018 hingga 2021, sekarang nilai aset tertangguh sekitar RM400 juta sahaja.

“Maknanya lebih RM1.2 bilion telah diusahakan oleh pegawai-pegawai kita di MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) untuk menjual rumah,” katanya.

 

 


Pengarang :