Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor beri 157,000 dos penggalak secara percuma mulai esok

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma oleh Kerajaan Negeri menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster mulai esok.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya secara terus di Klinik Selcare berdekatan.

“Senarai klinik yang terlibat akan dalam pelaksanaan program ini boleh didapati di laman sesawang http://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat).

“Semua maklumat penerimaan vaksinasi dos penggalak melalui program Selvax Booster akan dihantar oleh klinik terlibat melalui aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini.

Kata Amirudin, program berkenaan akan dilaksana di beberapa lokasi di seluruh negeri berdasarkan permintaan wakil rakyat dengan perinciannya dimaklum dalam masa terdekat.

Beliau berkata pemberian dos penggalak jenis Sinovac ini bukan sahaja dibuka kepada penerima vaskin program Selvax sebelum ini malah turut terbuka kepada penerima vaksin program di bawah persekutuan.

“Tiada masalah penerima vaskin jenis lain untuk menerima Sinovac cuma dinasihatkan adalah lebih baik menerima jenis yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan vasksin yang disediakan untuk Selvax Booster adalah lebihan daripada program Selvax yang dijalankan Kerajaan Selangor sebelum ini.

“Seperti saya umum pada hari pertama pembelian vaksin negeri Selangor, ia adalah persediaan kita untuk dijadikan dos penggalak untuk komuniti pada masa depan dengan beranggapan kemungkinan berdepan pandemik dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkap dan mempercepatkan proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

 


Pengarang :