Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari (kiri) meninjau mangsa banjir sekitar Bukit Changgang dan Bandar Sri Ehsan, Kuala Langat di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang pada 21 Disember 2021. Foto RADIN WAZIR/PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tinjau mangsa banjir Bukit Changgang, agih bantuan asas

SHAH ALAM, 21 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau mangsa banjir sekitar Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan, Kuala Langat pagi tadi.

Beliau memaklumkan seramai 1,400 mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang.

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang berada di PPS,” menurutnya di Facebook sebentar tadi.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 2,500 penduduk di Taman Seri Ehsan terputus hubungan kerana jalan utama dinaiki air sejak Ahad, justeru lori dan bot digerak untuk menyelamatkan mangsa.

“Bekalan air dan elektrik masih ada. Pek bantuan keperluan asas dan makanan bermasak disalur kepada semua penduduk,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.


Pengarang :